Benteng Hindari Zina

Wednesday, July 7, 2010

Tidak lama dulu kajian sebuah syarikat pengeluar kondom mengkategorikan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah di kalangan remaja dengan purata 62 kali setahun pada 2003 dan 86 kali setahun pada 2004, berbanding Jepun 37 kali setahun pada 2001 (Majalah Millenia, Jamadil Akhir-Rejab 1431H). Terkini, kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dipaparkan dalam Mingguan Malaysia 20 Jun 2010, berkaitan 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terlibat dengan salah laku seksual dan seks bebas. Laporan itu membuatkan saya cukup bimbang dan risau tentang nasib umat Islam khusunya di Malaysia. Saya tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan sistem pembelajaran hari ini yang saban tahun mencatatkan keputusan peperiksaan yang meningkat. Apa yang berlaku kepada struktur kekeluargaan kita pada hari ini, ketika kita tidak pernah lekang dengan pelancaran demi pelancaran kempen keluarga bahagia, keluarga sakinah dan sebagainya. Tiba-tiba satu kajian mendapati 300 anak Melayu terlibat dalam salah laku seks. Saya tegaskan inilah masa untuk kita bermuhasabah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan 81,000 anak luar nikah didaftarkan. Manakala di ruangan Pendapat Utusan Malaysia, seorang penulis menyatakan frasa Melayu seks sahaja sudah ada 1.1 juta maklumat di Google, 'Melayu Seks Sekolah' pula berjumlah 2.69 juta. Ketika mana Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia pula menyatakan 55% rakyat Malaysia ketagih internet (Utusan Malaysia 30 Jun 2010).

Fakta-fakta tersebut sememang sudah cukup untuk kita memulakan langkah serta-merta bagi kita mengatasi masalah ini. Saya memohon kepada semua pihak terutama kerajaan dapat mengatur langkah serius dalam menangani kebejatan akhlak.